Categories
AGENDA NASIONAL

Pandu lawan arus, lelaki positif dadah ditahan halang tugas polis

SEREMBAN, 2 FEB: Polis menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

Beliau berkata lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

“Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

-BERNAMA