Categories
AGENSI SELANGOR

Pembersihan pascabanjir fasa dua dijangka selesai dua bulan lagi

PETALING JAYA, 8 FEB: Operasi pembersihan pascabanjir fasa dua di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata kerja pembersihan longkang dan parit memerlukan sedikit masa berikutan kawasan berkenaan agak luas.

“Aktiviti gotong-royong akan berterusan bagi membersihkan longkang dan parit di kawasan perumahan yang masih dipenuhi lumpur, tanah, pasir dan batu kerikil.

“Apabila kita sedut sisa berkenaan, ia (air) dapat mengalir dengan baik. Jadi, kita harap boleh selesai dalam masa sebulan setengah atau bulan lagi,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kelengkapan sekolah di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar.

Ahli Dewan Negeri, Seri Setia, Halimey Abu Bakar (dua, kanan) bersama Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir (dua, kiri) menyampaikan sumbangan barang persekolahan ketika Program Kembali ke Sekolah DUN Seri Setia bersama KDEBWM di TH Hotel, Kelana Jaya pada 8 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ramli turut menyeru masyarakat di kawasan terbabit supaya tidak membuang sampah pukal ke dalam longkang kerana dikhuatiri menjejaskan kelancaran operasi pembersihan fasa dua.

“Kita lihat selepas perayaan Tahun Baharu Cina masih ada sampah pukal seperti kabinet yang dibuang di berhampiran longkang. Mungkin mereka baru buang sebab sudah gantikan kabinet baharu.

“Kalau kita fokus hanya sampah pascabanjir, ia akan melambatkan proses pembersihan fasa ini. Penduduk kena bertanggungjawab kerana kita tidak mahu kawasan ini menjadi lambakan sampah pukal,” katanya.

Sejak 20 Disember lalu, KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas bah secara berperingkat.

Sepanjang proses pembersihan fasa pertama yang selesai pada 7 Januari lalu, sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Pada fasa kedua mulai 8 Januari pula, syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).