Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pemeriksaan kesihatan percuma DUN Bandar Utama Sabtu depan

SHAH ALAM, 12 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk penduduk Kampung Sungai Kayu Ara pada 19 Februari ini.

Wakil rakyatnya, Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif dengan kerjasama Hospital Assunta Petaling Jaya itu bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari di Balai Raya Kampung Sungai Kayu Ara.

“Program ini bertujuan meringankan beban penduduk tempatan di kawasan berkenaan yang berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

“Justeru, saya mempelawa penduduk setempat supaya memanfaatkan peluang ini untuk mengenal pasti status kesihatan masing-masing,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran secara dalam talian melalui pautan http://tiny.cc/KlinikKayuAra dengan menyertakan dokumen lengkap.

“Penduduk diminta menyertakan slip gaji atau bukti pendapatan bulanan manakala surat pengesahan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mereka yang ingin memohon kad Program Pesakit Luar Kebajikan Masyarakat (SWOP) Hospital Assunta,” katanya.

Sementara itu, untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 016-6849371.