Categories
AGENDA NASIONAL

Pengembara Malaysia dibenar masuk Filipina dengan sijil lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA, 15 FEB: Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan ini berikutan kata sepakat yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Filipina pada Isnin untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas.

Selain itu pengembara dari Filipina turut dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH.

“Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Persetujuan tersebut juga membolehkan Kedutaan Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada Ahad lepas untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan.

Semalam, media melaporkan kesemua tujuh rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan setelah dimaklumkan pihak berkuasa Filipina bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan memasuki republik itu semalam hasil tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila.

Menurut Wisma Putra pada dasarnya, kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau yang diluluskan pihak berkuasa negara-negara tertentu.

Bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan-kerajaan negara lain.

“Malaysia dan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA