Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Perluas guna tuala wanita pakai semula, atasi miskin haid

PETALING JAYA, 13 FEB: Penggunaan tuala wanita pakai semula akan diperluas ke seluruh negeri bagi mengatasi isu kemiskinan haid selain memelihara alam sekitar, kata EXCO pembangunan wanita.

Inisiatif itu susulan kajian oleh Wanita Berdaya Selangor yang mendapati ada yang tidak mampu memiliki tuala wanita ketika perintah kawalan kerana perlu membeli makanan, jelas Dr Siti Mariah Mahmud.

“Justeru, kita mahu mengajak wanita kembali kepada cara lebih ekonomi selain penggunaan tuala wanita pakai buang hanya menambah beban pada alam sekitar,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM20,000 untuk mengagihkan hampir 3,000 pek tuala wanita sempena kempen Peduli Kemiskinan Haid.

Kajian kemiskinan haid oleh Kementerian Pembangunan Wanita tahun lalu mendapati sebanyak 13.1 peratus remaja perempuan dan wanita berpendapatan rendah tidak mampu membeli tuala wanita.

Kajian rintis itu melibatkan golongan berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita berikutan masalah kewangan.