SHAH ALAM, 3 FEB: Walau berusaha keras menghulur bantuan banjir secepat mungkin, Kerajaan Selangor memohon maaf atas kelewatan akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.
Setakat ini, Kerajaan Negeri mengagihkan RM55.425 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada 55,425 ketua isi rumah dengan jumlah RM1,000 setiap keluarga.
Manakala seramai 13 waris korban bencana menerima RM10,000 menjadikan keseluruhan bantuan disalur berjumlah RM55.555 juta.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 77,000 permohonan diterima dari keluarga mangsa bencana melibatkan Klang sahaja.
“Kerajaan Negeri mendapati terdapat kes tambahan (permohonan) tinggi di Klang dan Petaling serta permohonan lebih sekali oleh ahli keluarga selain ketua isi rumah.
“Secara keseluruhan kita menerima 109,000 permohonan yang memerlukan RM109 juta bagi BSB. Kita terpaksa buat saringan tertentu dan insya-Allah dapat diselesaikan,” katanya.
Bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata pemberian BSB akan diusahakan secepat mungkin dan disalur selewat-lewatnya akhir bulan ini.
Beliau turut menjangka agihan di Petaling selesai akhir minggu hadapan manakala seramai 3,800 lagi keluarga di Klang akan menerima bantuan itu esok.
“Bagi Klang pula, terdapat peningkatan permohonan sebanyak 30,000. Sehingga kini, seramai 1,000 pemohon disalurkan BSB RM1,000 setiap hari.
“Saya telah meminta supaya pegawai daerah lain bantu mempercepatkan proses di Klang untuk menggandakan pemberian bantuan kepada sehingga 2,000 dan 3,000 penerima setiap hari,” katanya lagi.
Sementara itu, Amirudin berkata Selangor mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion akibat bencana tersebut dengan sebahagian besar membabitkan daerah Klang.
“Kalau ambil hitung kasar 100,000 rumah atau keluarga terjejas dengan nilai anggaran kerosakan paling minimum RM10,000. Fikir kereta dan rumah rosak, mungkin angkanya besar dalam RM1 bilion.
“Tetapi bagi pihak Kerajaan Negeri, (kerugian) infrastruktur lebih kurang RM400 juta,” katanya.