Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Persiapan hampir selesai, pemain boleh uji gelanggang esok

SHAH ALAM, 13 FEB: Persiapan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City yang berlangsung Selasa mencecah 80 peratus setakat ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjangka proses tersebut selesai malam ini dengan pemain boleh menguji gelanggang bermula esok.

“Setakat ini, semua persiapan mengikut perancangan dan dalam keadaan baik untuk kejohanan bermula Selasa ini,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Selangorkini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi bercakap kepada media ketika sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata hanya pemain Indonesia tamat kuarantin setakat semalam dan dibenar menjalani latihan di Akademi Badminton Setia di Setia Alam.

“Setiap pemain perlu menjalani dua saringan Covid-19 iaitu pada hari ketibaan dan tamat kuarantin. Setakat ini, tiada kes dilaporkan,” katanya lagi.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari sehingga 20 Februari yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Permain badminton negara giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Skuad negara bakal berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

Permain perseorangan lelaki Lee Zii Jia giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Skuad negara bakal berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI