Categories
AGENDA SUKANKINI

Peserta badminton Asia masih jalani kuarantin, mula latihan Isnin

SHAH ALAM, 11 FEB: Semua peserta Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bakal memulakan sesi latihan memanaskan badan di Akademi Badminton Setia Alam di sini pada 14 Februari, iaitu sehari sebelum saingan membuka tirai.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata ketika ini kesemua pasukan dari tujuh negara sedang melengkapkan tempoh kuarantin di Hotel Clio Sunway, Petaling Jaya dan ia dijadualkan tamat pada Ahad ini.

“Mereka diberi sekitar dua hingga tiga jam untuk berlatih pada hari berkenaan mengikut slot yang ditetapkan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak timbul isu berkaitan Covid-19.

“Latihan ini hanya sebagai pemanas badan selain memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan keadaan di negara ini kerana saya percaya pemain sudah membuat persiapan rapi di negara mereka sebelum tiba di sini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Selain itu, Mohamad Nizam berkata semua pemain juga dilarang keluar dari hotel penginapan masing-masing sepanjang berada di negara ini, kecuali bagi urusan yang ditetapkan.

“Mereka juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala termasuk ujian doping yang dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS),” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa persiapan lokasi kejohanan sudah mencapai 70 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada Ahad.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dalam acara berprestij yang diselaraskan oleh MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Seramai 24 pemain negara menggalas cabaran pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City selama enam hari mlai 15 sehingga 20 Februari.