Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pinjaman boleh ubah RM9 juta bantu anak Selangor lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan RM9 juta melalui pinjaman boleh ubah bagi membantu anak Selangor melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan pinjaman tanpa faedah antara RM3,000 hingga RM7,000 seorang diberikan kepada pelajar yang layak mengikut kursus ditawarkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan manfaat itu untuk pengajian dalam negara dan akan diberikan kepada lebih ramai termasuk yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Hari ini kita serah kepada 117 penerima yang merupakan sebahagian daripada pemohon. Semua penerima menjalani sesi temu duga Januari lalu untuk dinilai supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya ditemui di Dewan Jubli Perak hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatuni pelajar selepas menyerahkan Surat Tawaran Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah kesemua pelajar itu juga layak mendapat kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama setahun bagi memudahkan proses pembelajaran.

“Ada yang belajar di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Kerajaan Negeri yakin usaha ini dapat membantu urusan pelajar,” katanya lagi.

Maklumat lanjut berkenaan pinjaman boleh ubah Selangor boleh didapati melalui pautan https://tkwbns.selangor.gov.my/portal/index.php.

Pada 4 Ogos 2021, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM meliputi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor dan mahasiswa.