Categories
BUDAYA RENCANA

Puan kami lapar

Oleh Aliff Awan

Duit tak ada dan seseorang di dalam dah mencubit-cubit perut. Kukunya macam tak dipotong jadi ada rasa yang daging terkupil, melelehkan darah yang halus menitik. Tapi, perjalanan masih jauh dan kalau sekalipun kereta api ini tiba-tiba laju, saya masih akan sampai di Bank Negara hanya selepas sejam setengah.Sebenarnya, malas dah jadi pakaian. Atau sebenarnya malas adalah tubuh saya?

“Nantee masokkan perjoompaan secara bersemooka dee dalam jadual. Semeenggoo sekalee, ya. Teeap meengoo saya belanja makan,” arah dia yang saya susah nak faham bahasanya. Mesej itu dikirim betul-betul selepas kelas.

Dia pensyarah linguistik kami, tapi mesej yang ditaipnya selalu buatkan saya menduga-duga berapa besar, tebal dan panjang kabel yang dia lilitkan pada pegawai temu duga.

Bingung menjadi gelang, menyarung tangan kiri. Balas saya dengan sebuah kiriman suara, “boleh saya tahu keperluannya, Puan? Sebab kami bukan dekat. Ada yang dari Perak, Sabah, Kelantan dan Johor. Kalau ia cuma perbincangan, eloklah kalau kita teruskan seperti biasa, melalui internet saja. Lagipun, masih ada yang belum vaksin.”

Balasannya buatkan bingung menjadi gelang kedua, menyarung tangan kanan pula. Katanya, perbincangan ini penting dan kami wajib turun. Jadi, selepas marah yang diam- diam, kami pun terpaksa akur dan sekarang, saya dalam perjalanan ke universiti menaiki kereta api super-lembab.

Seseorang di dalam masih mencubit-cubit perut, mengupilkan daging yang entah ke berapa. Lapar buatkan saya fikir, kalau ada duit yang orang cicirkan di celah-celah tar atau mungkin di atas meja, saya akan ambil untuk dijadikan duit beli makanan. Lapar juga buatkan saya pening. Dan pening ini bercampur dengan geram yang membara dua hari lepas.

“Awuok tuok bolih masok fakooltee rasanya Raboo nee. Jadee, keeta joompa dalam eenternet sajalah.”

Mesej seringkas ini cukup untuk buatkan marah menjadi pakaian, menjadi seluar. Kami dah mencarut-carut, soalkan tentang duit yang dah habis terbakar kerana perjalanan yang dah diatur. Kapal terbang, bas dan ETS. Masa yang telah dicuri dan bebel mak-ayah yang terpaksa didengari.

“Tak bolehlah Puan tiba-tiba macam ini. Tiket dah beli, jadi kita memang kena jumpa Rabu nanti,” tapi mesej ini cuma dibaca. Kami dah resah. Maki bersepah. Cuma selepas dua pagi, marah kami dibalas dengan “ok.”

Lepas 11 stesen, akhirnya kereta api berhenti dan di kaki, debar menjadi kasut, memalsukan langkah konon berani. Ada lebih kurang tujuh minit sebelum saya betul-betul sampai di universiti kalau berjalan kaki. Dan sepanjang perjalanan, otak saya menjadi filem:

Dengan bongkok yang hampir menjilat tanah, dia masuk. Kami pula duduk dengan debar di kaki masing-masing, menunggu mulutnya yang entah di mana, mengeluarkan suara. Lima minit dan dia masih tak cakap apa-apa sebelum tiba-tiba, “saya sebenarnya saja nak jumpa awak hari ini. Tak ada sebab penting pun.”

Dan gelang, pakaian, seluar dan kasut kami tercabut. Kerusi terbakar, tanah pula gempa bumi. Ada lagi empat tingkat yang perlu didaki sebelum sampai ke fakulti. Kami yang nampak saya, melambai-lambai dengan senyum weh-dah-lama-tak-jumpa. Sedang debar masih di kaki, saya masih terfikir-fikir kalau hari ini akan ada pergaduhan.

Tiba-tiba saya teringat soalan daripada kami sebelum terbang dari Sabah, “Kalau kita biadab, katanya cikgu boleh un-berkatkan ilmu. Kalau cikgu yang biadap, boleh ke kita unberkatkan gajinya?” tapi, tak ada siapa yang jawab soalannya. Sekarang, saya dah sampai di fakulti. Betul-betul di hadapan kami. Tapi, mereka macam mencari-cari. Cari siapa? Puan. Puan tak ada di dalam? tak. Tak tanya staf? katanya, Puan datang awal pagi tadi dan kali terakhir, mereka tahu yang dia ke pantri.

Jadi, kami ke pantri, tapi kosong. Yang ada, beberapa keping seratus di atas meja.

Kami memandang kanan, memandang kiri sebelum yang dari Johor kata, “mungkin ini Puan tinggalkan untuk belanja makan kita nanti?” kami pun tanpa silu, mengangguk sebelum terus bergegas ke kafe, mengambil makanan, memesan minuman. Sebelum makan, kami perlu bayar, jadi saya ke kaunter dan meminta jumlah. RM 67 katanya dan saya hulur seratus.

“Rosak ni,” terang tukang kira sebelum dia menyelak-nyelak ringgit. Saya pun tergaru-garu sebelum hulur seratus yang lain dan ia berulang lagi. Penat akhirnya memarakkan baran tukang kira. “Kalau hang nak main-main, baik hang berambus!”

Terkial-kial, kami pun tinggalkan pinggan penuh makanan dan mendaki semula enam tingkat ke fakulti. Masing-masing mengeluh. Saya pun dah berpeluh sebab seseorang yang asyik mengupil daging di dalam perut. Tapi, dia di mana? Saya memang perlukan duit penuh keberkatannya sekarang. Saya lapar!