Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps beroperasi semula esok, sedia 100 katil

PUTRAJAYA, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang akan diaktifkan semula bermula esok bagi merawat kes berisiko rendah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan, sebanyak 100 katil disediakan untuk pesakit di sekitar Lembah Klang dan akan ditambah mengikut keperluan.

“Maeps diaktifkan semula esok. Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil di hospital tetapi lebih kepada langkah awal dan beri ruang supaya hospital boleh terus beri rawatan kepada kes bukan Covid-19 tanpa gangguan berikutan kes yang disebabkan gelombang Omicron,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata pengoperasian semula PKRC itu adalah antara strategi yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan Omicron yang menyaksikan peningkatan kes harian.

Khairy berkata KKM turut berdepan keadaan yang menyaksikan ada pesakit ke hospital untuk rawatan bagi penyakit lain namun ketika saringan dibuat, individu itu dikesan positif Covid-19.

“Walaupun mereka tidak dirawat disebabkan Covid-19, bila ada kes macam ni, kita kena gunakan katil di hospital ini dan terpaksa asingkan… Perkara ini akan merumitkan hospital berkenaan, berikutan itu kita buka kembali PKRC Maeps, kes positif kita hantar ke sana.

“Katil yang disediakan oleh PKRC itu adalah untuk pesakit berisiko rendah dan ia hanya akan digunakan dalam tempoh yang singkat berbanding ketika penularan varian Delta. Kita jangka PKRC ini akan digunakan sehingga Omicron reda,” katanya.

PKRC Bersepadu 2.0 Maeps ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit Covid-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 yang hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun sama.

Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19 sebelum dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu Maeps 2.0 pada 24 Januari 2021 dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat dalam skala sederhana.

-BERNAMA