Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps Serdang ditutup 8 Februari, urus lebih 166,000 pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 1 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) ditutup secara rasmi 8 Februari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

“PKRC Maeps dijadualkan tutup secara rasmi pada 8 Februari ini InsyaAllah,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

MAEPS Hall A2 yang menempatkan pesakit Covid-19 wanita. Kredit foto: twitter.com/azmanrocks

Penutupan PKRC Maeps yang beroperasi kali kedua selama 14 bulan itu terdahulu dikongsi pengguna Twitter @azmanrocks yang dipercayai kakitangan kesihatan yang berkhidmat di PKRC berkenaan.

“Maeps telah mengeluarkan kumpulan pesakit terakhirnya semalam (kelmarin). MAEPS 2.0 telah menjaga 166,072 pesakit Covid-19 sepanjang 14 bulan, meringankan beban hospital di Semenanjung Malaysia.

“Satu penghormatan untuk berkhidmat di sini selama tiga bulan dan pada hari terakhirnya,” katanya menerusi Twitter, semalam.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19.

MAEPS Hall B yang menempatkan pesakit berisiko tinggi. Kredit foto: twitter.com/azmanrocks

Sepanjang tempoh itu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM320,000 bagi membantu melancarkan proses perjalanan PKRC Maeps antaranya taska menempatkan anak petugas barisan hadapan dan menyumbang 14 unit tablet untuk kegunaan petugas.

Kerajaan Negeri juga menyediakan lima unit Bas Smart Selangor ke PKRC Serdang bagi memudahkan urusan rawatan pesakit.

Menurut Selangor State Government, bas berkenaan digunakan untuk menghantar dan mengambil pesakit dari Pusat Penilaian Covid-19 ke fasiliti kesihatan seluruh negeri.

Ketika Aidilfitri tahun lalu, Kerajaan Selangor turut menyumbang lebih 6,000 pek makanan kepada petugas dan pesakit yang ditempatkan di PKRC berkenaan.