Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda sokong kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC, Sanofi

SHAH ALAM, 23 FEB: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan memberi sokongan kepada kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia (Sanofi).

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi video bertitah semua individu perlu menjaga kesihatan dan mula mengurangkan pengambilan gula berlebihan.

“Kepada semua yang beta kasihi, kesihatan adalah sesuatu yang amat berharga dalam kehidupan, yang tidak boleh kita jual beli dan ia perlu dijaga.

“Diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang sudah lama wujud dalam kalangan kita, ia berlaku apabila kandungan gula dalam darah melebihi tahap normal sehingga membawa kepada penyakit jantung, strok dan membahayakan kesihatan,” titah baginda di Facebook Selangor FC.

Pada masa sama, baginda berharap rakyat tahu cara melawan penyakit bahaya itu dan tidak mengambil sikap sambil lewa dalam pemakanan seharian.

“Pepatah ada berkata mencegah lebih baik daripada merawat, jom mula amalkan diet sihat, kurangkan pengambilan gula berlebihan, kerap bersenam dan buat pemeriksaan bulanan untuk tahu tahap kesihatan. Ayuh, kita lawan diabetes!,” titah baginda.

Selangor FC bersama Sanofi melancarkan kempen memerangi diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia dengan petisyen secara dalam talian.

Pihaknya menyasarkan 10,000 ikrar daripada masyarakat bagi mengisytiharkan kempen perangi diabetes menerusi pautan https://www.change.org/war-against-diabetes-MY.