Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

100,000 termasuk dari luar negara tonton sambutan Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 4 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 secara dalam talian anjuran Kerajaan Selangor pada Selasa lalu mendapat sambutan memberangsangkan dengan mencapai tontonan hampir 100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Dato’ Teng Chang Khim berkata penonton bukan hanya dalam kalangan rakyat negara ini sebaliknya turut disertai dari Singapura, Taiwan, United Kingdom, Australia, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Terima kasih kepada yang menonton. Kita harap video ini akan dikongsikan di laman sosial masing-masing supaya lebih ramai dapat menyaksikan persembahan menarik ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata senarai pemenang angpau yang keseluruhan berjumlah RM10,000 diumumkan pada Rabu lalu menerusi Facebooknya dan pemenang diminta mengisi maklumat diri di laman web tertera sebelum Ahad ini.

“Pemenang akan menerima angpau masing-masing bermula Isnin hingga Rabu depan dengan jumlah antara RM38 hingga RM288,” katanya.

Program lebih 90 minit menyajikan 10 persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan daripada 55 artis tempatan dari tiga generasi dengan kos sekitar RM500,000.

Sambutan itu merupakan penganjuran kali kedua selepas dilancarkan tahun lalu susulan penularan Covid-19 belum reda.

Senarai persembahan seperti berikut:

– Nyanyian lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine
–Tarian Singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
–Tarian oleh Dua Space Dance Theatre
–Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh kumpulan Colour of Voices
–Persembahan muzik tradisi guzheng oleh Sara Heng
–Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
–Persembahan guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
–Persembahan artis Lim Wen Suen
–Persembahan artis Gaston Pong & JE Pong
–Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri