Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley tutup tiga hari, langkah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya, Kuala Selangor ditutup tiga hari bermula hari ini bagi proses sanitasi.

Pusat agro pelancongan itu memaklumkan langkah diambil susulan perkembangan kes Covid-19 yang meningkat muktahir ini.

“Pihak SFV amat prihatin terhadap perkembangan jangkitan wabak itu yang semakin bertambah.

“Justeru itu, SFV mengambil langkah pencegahan dengan melakukan sanitasi seluruh kawasan,” katanya menerusi Facebook.

Pusat tersebut akan kembali beroperasi semula seperti biasa pada Sabtu 19 Februari ini.

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikannya sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.