Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor laksana tiga inisiatif perkasa pendidikan anak negeri

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa agenda pendidikan anak Selangor khususnya.

Inisiatif itu antaranya bantuan RM1,000 kepada mahasiswa baharu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Iltizam Mahasiswa Selangor.

Pinjaman boleh ubah melanjutkan pelajaran dalam dan luar negeri melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor serta kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi internet percuma selama setahun turut disediakan.

“Selangor mengambil berat kebajikan para mahasiswa di samping mengutamakan agenda pendidikan untuk semua masyarakat,” tulis Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Belanjawan Selangor 2022 yang dibentangkan pada 26 November tahun lalu memperuntuk sebanyak RM2.34 bilion dengan RM1.12 bilion dikhaskan untuk pembangunan.

Belanjawan tersebut memberi manfaat kepada semua golongan termasuk pelajar, wanita, B40, orang kelainan upaya, usahawan dan petani meliputi aspek kesihatan, pendidikan, industri, perniagaan, pelancongan serta pertanian.