Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor, pengeluar bincang kurangkan harga telur ayam

SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri sedang membincangkan pengurangan harga telur ayam dengan pengeluar produk terbabit bagi meringankan beban penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini pihaknya menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sudah melaksanakan inisiatif itu dengan meletakkan harga sepapan pada RM11.30 berbanding RM12.40 di pasaran.

“Kita bukan hendak kacau pasaran tetapi jika boleh harga dikurangkan untuk mereka memerlukan. Kita sedar isunya boleh dikurangkan (harga) dan sebab itu kita tawarkan harga untuk kurangkan beban,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Wisma PKPS hari ini.

Amirudin berkata pihaknya turut berurusan dengan pengeluar telur ayam yang menyewa tanah milik anak syarikatnya Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi memastikan bekalan sentiasa ada.

“Ada beberapa lokaliti yang dikesan kurang bekalan. Isunya kadang-kadang bukan soal ada atau tidak (bekalan) tetapi berkait gred. Ada gred A tapi orang mahu gred C.

“Jadi saya akan lihat dan pastikan bekalan mencukupi. Harga tidak terlalu murah tidak juga melambung sebagai mana harga ayam,” katanya.

Pada Khamis Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Azman Adam memaklumkan bekalan telur ayam selain ayam dan minyak masak tidak mencukupi ekoran permintaan mendadak sempena Tahun Baharu Cina.