Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Skim baharu Hijrah Selangor bantu usahawan luas perniagaan

SHAH ALAM, 9 FEB: Usahawan negeri ini berpeluang mengembangkan perniagaan masing-masing melalui skim baharu ditawarkan bawah Hijrah Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Inisiatif diperkenalkan pada Oktober tahun lalu merupakan manifestasi keazaman Kerajaan Negeri untuk menyokong perniagaan di Selangor, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM120 juta kepada Hijrah untuk membiaya usahawan. Sektor keusahawanan sangat penting bagi merancakkan semula ekonomi negeri.

“Kepercayaan ini turut disokong testimoni kejayaan oleh ramai usahawan Hijrah,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook rasminya hari ini.

Menurut infografik yang dikongsikan, skim i-Lestari menawarkan modal tambahan antara RM51,000 hingga RM100,000 manakala i-Agro untuk usahawan industri tani dari RM1,000 hingga RM50,000.

Skim i-Bermusim pula dikhaskan kepada peniaga bazar Ramadan, perayaan serta buah-buahan.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Amirudin melancarkan tiga skim berkenaan berkonsepkan islamik bagi membantu usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.