Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor seru umat Islam contohi sikap Rasulullah mengurus masa

SHAH ALAM, 1 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam agar mencontohi sikap Nabi Muhammad yang sangat menitikberatkan soal kepentingan menguruskan masa.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, Baginda bertitah umat Islam di negeri ini perlu memahami dan menghayati inti pati khutbah jumaat bertajuk ‘Mencari Keberkatan Masa’ yang dibacakan khatib di masjid-masjid seluruh negeri pada 25 Januari lalu.

“Baginda bertitah, umat Islam wajib meneladani Rasulullah yang sangat menitikberatkan soal kepentingan menguruskan masa dalam kehidupan dan sentiasa berpesan agar memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.

“Banyak faktor yang menyebabkan manusia leka dan lalai dalam menguruskan masa. Antara faktor kegagalan kita dalam menguruskan masa dengan sebaiknya ialah tidak memahami matlamat kehidupan di dunia; sikap malas dan sambil lewa; dan sikap suka bertangguh dan membuang masa,” katanya.

Baginda juga berpesan kesemua tabiat buruk tersebut mestilah dihadapi dengan penuh mujahadah melawan diri sendiri.

“Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya diperhambakan oleh hawa nafsu, sebaliknya dialah yang mengawal hawa nafsunya.

“Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati sudah tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati,” katanya.