Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan zahir ucapan sempena Hari Radio Sedunia, puji saluran lagu klasik

SHAH ALAM, 13 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan ucapan Selamat Hari Radio Sedunia 2022 kepada semua saluran radio di Malaysia yang diraikan hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut memuji langkah Radio Televisyen Malaysia mengekalkan saluran Radio Klasik khusus buat penggemar lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, Baginda memilih stesen radio berkenaan ketika berada dalam kenderaan dan terhibur dengan seleksi lagu-lagu lama pada malam hari sebelum beradu.

“Baginda mengakui kebanyakan lagu yang dimainkan oleh Radio Klasik mengimbau kenangan silam dan mengingatkan kepada sejarah penting yang pernah dilalui oleh Baginda,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Sultan Selangor turut tertarik dengan petikan ceramah agama pada waktu Subuh di Radio Klasik yang padat dan bermanfaat selain pemilihan berita yang baik, ringkas dan jelas.

Baginda juga berkenan memberi pujian dan penghargaan kepada pengurusan Radio Klasik selain berharap semua saluran radio terus berperanan sebagai platform hiburan dan menyampaikan informasi tepat.