Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Syarat dos penggalak sertai solat Jumaat dibuat atas perkenan sultan

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri menegaskan syarat dos penggalak Covid-19 bagi menyertai solat Jumaat di negeri ini berdasarkan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

EXCO hal ehwal agama Islam dalam kenyataan hari ini berkata perkenan itu merupakan keprihatinan Baginda bagi mengelak jangkitan Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri prihatin dengan keluhan dan rungutan umat Islam di Selangor yang tidak dapat menunaikan solat fardu Jumaat pada 25 Februari lalu berikutan belum menerima dos penggalak Covid-19.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa ketetapan tersebut adalah berdasarkan perkenan DYMM Sultan Selangor melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertarikh 21 Februari,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata Kerajaan Negeri yakin perkenan Baginda mewajibkan dos penggalak berasaskan kepada kaedah fikah iaitu mencegah perkara yang membawa kerosakan dan bahaya atau sadd adz-dzara’i.

Kata Mohd Zawawi pendekatan menggalakkan rakyat negeri ini mengambil dos penggalak turut bertepatan dengan salah satu prinsip maqasid syariah (tujuan syariah) iaitu memelihara nyawa.

Justeru, jelasnya Kerajaan Negeri menasihati rakyat negeri ini supaya segera mengambil dos penggalak bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam.

Tambahnya, dos penggalak boleh diambil secara percuma di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat jelata dan sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut,” katanya.

Semalam, Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini.