Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor sumbang tenaga, lancarkan proses agih bantuan bah

SHAH ALAM, 4 FEB: Seramai 10 sukarelawan Team Selangor membantu Pejabat Daerah dan Tanah Klang memasukkan data pemohon Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Khidmat pasukan itu sejak minggu lalu diteruskan sehingga agihan RM1,000 kepada semua mangsa bah selesai, kata Pegawai Daerah Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau menjelaskan agensi lain turut membantu sebelum ini antaranya Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Kita terima 73,000 permohonan (bantuan), jadi kakitangan yang ada tidak mencukupi kerana mereka juga perlu melakukan kerja sedia ada,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sebelum ini, Mohd Faizal berkata proses serahan BSB kepada mangsa banjir daerah itu dibuat setiap hari mulai Isnin membabitkan 2,000 penerima, yang dijangka selesai Februari.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan agihan bantuan banjir akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM55.555 juta bagi membantu penduduk termasuk sumbangan RM10,000 kepada 13 waris korban bencana.