Categories
AGENSI SELANGOR

Tempahan slot vaksin Selangor dos penggalak bulan Mac kini dibuka

SHAH ALAM, 13 FEB: Tempahan slot dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster bagi bulan Mac telah dibuka.

Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memaklumkan tempahan itu boleh dilakukan sendiri dengan individu boleh memilih tarikh serta lokasi menerima pelalian.

“Jangan lupa, tebus dos penggalak anda secara percuma dengan menggunakan kod baucar,” katanya di Facebook.

Sehingga awal bulan ini, seramai 74,000 individu menerima suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster sejak Disember tahun lalu.

Pengurus Besar Klinik Selcare Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata program terus mendapat sambutan baik dengan 1,950 dos diperuntuk setiap hari di 13 klinik.

“Kita mengalu-alukan jika wakil rakyat ingin mengadakan program ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan menyediakan pusat pemberian vaksin,” katanya.