Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tourism Selangor tingkat promosi perkenalkan Gombak-Hulu Langat Geopark

SHAH ALAM, 12 FEB: Tourism Selangor meningkatkan promosi bagi memperkenalkan keindahan dan keistimewaan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark kepada pelancong terutamanya rakyat negeri ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Shah Mohamad berkata hebahan menerusi media sosial penting bagi memastikan orang ramai mengetahui kewujudan GHL Geopark, sebagai salah satu produk eko pelancongan di Selangor.

“Kita sudah mempergiatkan promosi di Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan pelbagai saluran media sosial lagi. Kita turut merancang mengadakan promosi menerusi media utama lain seperti elektronik dan cetak.

“Selain itu, kita juga akan membuat program jelajah menerusi kempen Pusing Selangor Dulu dengan mengetengahkan GHL Geopark,” katanya menerusi bual bicara GHL Geopark ke arah Geopark Kebangsaan yang disiarkan di Media Selangor.

Beliau turut mengakui promosi adalah elemen penting dan terbukti berjaya memperkenalkan beberapa kawasan geopark yang ada di negara ini kepada orang ramai.

“Langkawi Geopark amat popular dalam kalangan rakyat negara ini berikutan program promosi yang dijalankan dan GHL Geopark mempunyai kelebihan kerana kita mempunyai penduduk lebih enam juta dan ia adalah sasaran promosi kita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PLANMalaysia@Selangor, Md Nazri Abdullah juga sependapat dengan Azrul bahawa elemen promosi amat penting dalam mengangkat GHL Geopark.

“Kita telah mengadakan pertandingan mencipta logo sebagai usaha memperkenal GHL dan kita sudah mempunyai pemenang. Logo itu akan dilancarkan pada Mac ini dengan disusuli program promosi.

“Promosi ini penting kerana GHL Geopark sangat istimewa kerana satu-satunya geopark yang terletak dipinggir bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi dan ia akan membantu mempopularkan geopark ini,” katanya.

Pada 9 November 2020, EXCO alam sekitar dan teknologi hijau Hee Loy Sian berkata Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Tapak Geopark Kebangsaan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat berkaitan 20 kawasan, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk bekerjasama.

Kawasan tersebut antaranya Permatang Kuarza Gombak Selangor, Tasik Biru Kundang, Batu Kapur Batu Caves, Bukit Tabur, bekas lombong Batu Arang, Granit Bukit Nuang, Granit Bukit Broga, Air Terjun Taman Rimba Komanwel, Air Terjun Sungai Gabai dan Air Terjun Sungai Kanching.