Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Wartawan buat ujian sosial sebagai pengemis, kutip RM147 dalam dua jam

Laporan ini adalah bahagian terakhir dalam kupasan mengenai kegiatan pengemis di Lembah Klang dan berdasarkan pengalaman wartawan Bernama yang menyamar sebagai peminta sedekah di Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR, 18 FEB: RM147 hanya dalam masa dua jam. Itu hasil yang diperoleh oleh penulis ketika menyamar sebagai pengemis di kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang di sini pada Sabtu lepas.

Bermodalkan RM9 bagi pembelian tisu, penulis sama sekali tidak menyangka mampu meraih “pendapatan” lumayan dalam masa yang singkat – 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Bayangkan hasil yang dikaut jika kegiatan itu dilakukan selama 12 jam, mungkin mencecah RM700 dan sebulan RM15,000.

Memang jauh lebih lumayan jika dibandingkan dengan gaji pekerja kolar biru yang bertungkus-lumus di kilang, restoran makanan segera dan lain-lain. Malah, mereka yang bekerja di pejabat juga tidak mampu meraih pendapatan sebesar itu termasuklah penulis.

Hanya ubah penampilan 

Misi dilakukan pada hari Sabtu kerana lazimnya pada hari berkenaan kawasan itu akan dipenuhi pengunjung sama ada untuk membeli-belah atau sekadar menghabiskan cuti hujung minggu bersantai di kafe dan restoran.

Berpakaian compang-camping dengan kemeja T lusuh serta bertudung ronyok, seluruh pakaian penulis dikotorkan dengan pengilat kasut.

Melengkapkan penyamaran, bakul berisi tisu yang diikat dengan tali rafia digantung di leher penulis yang turut bertongkat.

Bermodalkan RM9 bagi pembelian tisu, penulis sama sekali tidak menyangka mampu meraih “pendapatan” lumayan dalam masa yang singkat – 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Foto BERNAMA

Tongkat itu sebenarnya adalah ‘stand holder’ penyedut hampagas tanpa kabel yang mempunyai dua peranan pada hari tersebut – sebagai umpan memancing simpati masyarakat dan juga perisai untuk penulis mempertahankan diri jika berdepan situasi tidak diingini.

Ditemani dari jauh oleh Editor Eksekutif Bernama Harlina Samson dan Ketua Jurufoto Zid Omar serta jurufoto Muhammad Amirul Azmi yang menyamar sebagai orang awam, penulis memulakan misi yang turut mendapat kerjasama Bahagian D3, Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menyedari ada risiko yang menunggu, penulis diingatkan oleh pihak berwajib agar segera meminta bantuan sekiranya diganggu oleh pengemis lain atau individu yang berkepentingan.

Namun sepanjang dua jam berada di situ, penulis yang menggunakan nama “Siti”, wanita daif dari utara Semenanjung, tidak diganggu oleh pengemis lain mahupun “ditegur” oleh individu yang mungkin ahli sindiket mengemis, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kegiatan tersebut didalangi sindiket.

Bernama dalam laporan khas pada Rabu mendedahkan aktiviti mengemis, khususnya di Lembah Klang, tidak melibatkan kegiatan sindiket, sebaliknya dilakukan secara sukarela oleh individu bagi meraih pendapatan dengan cara mudah.

Mudah simpati 

Misi dimulakan di hadapan sebuah kedai kopi terkenal, dan sepanjang berada di situ boleh dianggap tempoh yang paling mencabar bagi penulis, terutama dalam menarik perhatian orang ramai agar “membeli” tisu yang dijaja.

Memang perlu tebal muka kerana ada yang memandang penulis dari atas ke bawah, selain turut diusir oleh pengusaha perniagaan yang tidak membenarkan “Siti” mengemis berdekatan premis mereka.

Di sebalik cabaran itu, tidak sampai 15 minit berada di kaki lima kawasan berkenaan, “Siti” didekati oleh seorang warga asing yang menghulurkan wang kertas RM10, dan bagaikan magnet, seorang demi seorang datang memberikan sumbangan.

Tidak sampai setengah jam, beberapa keping not RM10 dan RM5 sudah berada di dalam bakul tisu “Siti” dengan kebanyakan penyumbang langsung tidak mahu menerima tisu yang dijaja.

Penampilan “Siti” yang berpakaian lusuh dan comot serta bertongkat sambil mengheret kaki nyata berjaya menimbulkan rasa simpati orang ramai termasuk pekerja di kedai serbaneka yang keluar dari kedai semata-mata untuk bersedekah. Wang yang diberi bukan seringgit dua atau lima ringgit, sebaliknya RM10!

“Siti” kemudian beredar ke lokasi lain dan semasa terkial-kial mengheret kaki untuk melintas jalan, seorang lelaki warga asing datang menegur. Disangkakan ahli sindiket, namun telahan penulis nyata silap sama sekali kerana lelaki itu hanya mahu menghulurkan sumbangan.

Begitulah pemurahnya masyarakat di negara ini, baik warga tempatan mahupun rakyat asing. Justeru, tidak menghairankan jika ada individu mengambil kesempatan dan menjadi pengemis palsu demi meraih pendapatan lumayan dengan cara mudah.

Taktik

Semasa melakukan penyamaran itu, penulis juga mendapati aktiviti mengemis sebenarnya memerlukan taktik tertentu bagi menimbulkan rasa belas orang ramai. Ketika memulakan misi, penulis hanya berdiri, namun taktik itu gagal membuahkan hasil dan selepas beberapa ketika, penulis mengubah strategi dengan menghampiri mereka yang lalu-lalang sebelum duduk melunjurkan kaki yang “sakit”.

Editor Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Harlina Samson (kanan) bersama wartawan Bernama, ‘Siti’ (bukan nama sebenar) yang menyamar sebagai pengemis dalam misi mengenai kegiatan pengemis di Lembah Klang baru-baru ini. Foto BERNAMA

Taktik berkenaan juga kurang berkesan kerana “hasil” yang diperoleh tidak sampai RM5, membuatkan penulis memutuskan untuk beralih ke lokasi di hadapan sebuah restoran makanan segera terkenal. Di situ, penulis mengheret kaki dan mendekati orang ramai sambil menjaja tisu yang dibawa.

Ternyata strategi itu menjadi kerana “wang sedekah” yang diterima agak memberangsangkan. Malah lakonan penulis mengesat peluh dan menunjukkan isyarat hendak makan atau menjual tisu juga berjaya meruntun simpati orang ramai yang tidak teragak-agak menghulurkan wang.

Selain itu, lakonan penulis yang menundukkan muka seolah-olah kecewa apabila ada yang tidak mahu “bersedekah” turut berjaya “melembutkan hati” sesetengah mereka yang berpatah balik dan menghulurkan beberapa keping not RM1.

Boleh dikatakan ‘port’ itu sangat strategik. Selain itu, pemerhatian penulis juga mendapati kebanyakan penyumbang adalah warga asing dan yang paling memeranjatkan penulis, berdasarkan penampilan mereka, warga asing terbabit bukanlah ekspatriat ataupun pelancong, sebaliknya hanya pekerja kolar biru yang datang mencari rezeki di negara ini .

Ketagih?

Misi itu sepatutnya hanya berlangsung selama satu jam, namun penulis tidak menyedari masa yang berlalu kerana terlalu “fokus” kepada usaha mendapatkan laba yang lebih banyak.

Malah, rasa teruja kerana begitu mudah mendapat wang menyebabkan penulis mahu berada dalam karakter “Siti” dengan lebih lama. Ringkasnya kegiatan tersebut begitu mengasyikkan seolah satu ketagihan, seperti yang dilaporakn oleh Bernama sebelum ini bahawa kegiatan mengemis berpotensi mendedahkan individu kepada keseronokan mengemis yang boleh berubah menjadi ketagihan.

Dalam laporan itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata bermula dengan keseronokan, namun akhirnya membentuk ketagihan kelakuan dalam kalangan pengemis sehingga mereka sukar menghentikan kegiatan biarpun sudah beberapa kali menjalani sesi pemulihan.

Buktinya, ada yang kembali mengemis walaupun beberapa jam sebelum itu mereka “ditahan dan disiasat” oleh pihak berkuasa yang melakukan operasi membanteras pengemis. Walhal mereka memiliki kediaman dan keluarga, selain ada juga yang merupakan penerima bantuan zakat, baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Melihat pada keseluruhan isu, Bernama berpendapat isu pengemis perlu ditangani secara holistik kerana masalah ini bukan lagi sekadar soal kesempitan hidup tetapi turut membabitkan mental mereka yang terlibat sehingga menjadi ketagih dan perlu dirawat.

Mengenai sumbangan yang diperoleh oleh “Siti” pada hari berkenaan, wang terbabit akan disedekahkan kepada masjid dan surau bagi menyampaikan niat beramal mereka yang menyumbang.

– BERNAMA