Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,215 mangsa banjir di Selangor dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat 11 pagi tadi.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 93 orang berbanding sebelumnya, 1,122 mangsa yang menduduki pusat berkaitan.

Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan mereka adalah terdiri daripada 298 keluarga.

“Alhamdulillah di kebanyakan kawasan terutama di Puchong, banjir telah surut awal pagi ini (tadi),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.