Categories
AGENDA NASIONAL

70 kes tanah runtuh direkodkan di Selangor sehingga kelmarin

SHAH ALAM, 10 MAC: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kuala Lumpur merekodkan 70 kes tanah runtuh di Selangor sepanjang monsun timur laut hingga kelmarin.

Menurut agensi itu, Kuala Lumpur merekodkan 115 kes iaitu tertinggi di seluruh negara.

Sebanyak 311 kes tanah runtuh dicatatkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Tanah runtuh turut dicatatkan di Pahang (43 kes), Negeri Sembilan (28 kes), Sabah (23 kes), Sarawak (16 kes), Terengganu (13 kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Johor dan Perak.

“Mengikut laporan kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan cerun, jalan raya, taman perumahan dan rizab hutan.

“Satu runtuhan di sebuah kuari di daerah Kinta turut dilaporkan hingga menyebabkan ada mangsa terperangkap,” katanya.

Antara langkah awal bagi menangani kejadian itu, katanya, pemasangan kanvas dan penghadang bagi mengurangkan kesan runtuhan.

Selain itu, pemilik tanah persendirian juga diminta mengosongkan tapak dan rumah yang terjejas.

Bagi kawasan berhampiran kediaman, penduduk diarahkan berpindah buat sementara waktu bagi membolehkan operasi baik pulih dilaksanakan seperti di Batu Caves dan Shah Alam.

Katanya, JMG sedia memberikan nasihat kepada pihak terbabit bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.