Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Acara sunat beramai-ramai ceria kanak-kanak B40 di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 2 MAC: Seramai 73 kanak-kanak sekitar Kuala Kubu Bharu menyertai Program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Dewan Merdeka, Hulu Selangor hari ini.

Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat berkata kesemua peserta berusia antara enam hingga 15 tahun dikhatankan 10 doktor bertauliah daripada Pertubuhan Kebajikan Perubatan Komuniti (PKOM).

“Program sewaktu musim cuti sekolah ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat kerana tiada bayaran dikenakan.

“Saya harap program ini membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah (B40) untuk mengkhatankan anak lelaki mereka yang bakal beralih ke alam dewasa,” katanya ketika dihubungi.

Borhan Aman Shah yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar turut menasihati kanak-kanak terbabit agar tidak melakukan aktiviti lasak selain menjaga kebersihan diri.

“Saya juga berharap ibu bapa dapat memastikan anak mereka mengambil makanan berkhasiat supaya luka akan sembuh dengan cepat,” katanya lagi.

Program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada kanak-kanak di seluruh kampung tradisi mulai 27 Februari hingga 13 Mac.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://drive.google.com/file/d/1Iwf9GmKGSRmJB7WnCwYX0n3QUxSx8W11/view atau mendapatkan borang di balai penghulu.

Tarikh dan lokasi program seperti berikut:

  • Hulu Langat – 27 Februari (Dewan Demesne Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat)
  • Kuala Selangor – 28 Februari (Stadium Tertutup Kuala Selangor)
  • Sabak Bernam – 1 Mac (Dewan Tun Razak, Sabak Bernam)
  • Hulu Selangor – 2 Mac (Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu)
  • Klang – 5 Mac (Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang)
  • Gombak – 6 Mac (Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves)
  • Petaling – 7 Mac (Dewan Kenangan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling)
  • Sepang – 12 Mac (Dewan Bandar Baru Salak Tinggi)
  • Kuala Langat – 13 Mac (Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting)