Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Kelantan: 1,879 mangsa masih duduki tujuh pusat pemindahan

KOTA BHARU, 5 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan trend penurunan apabila 1,879 orang daripada 544 keluarga berada di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 malam, berbanding 2,260 orang daripada 692 keluarga petang tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terdiri daripada 601 lelaki dewasa, 616 wanita dewasa, 303 kanak-kanak lelaki, 344 kanak-kanak perempuan dan 15 bayi.

Mangsa banjir ditempatkan di lima PPS di daerah Pasir Mas manakala dua lagi di daerah Tumpat.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawangnya melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

– BERNAMA