Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 13 kawasan terjejas mula disalur, jangka pulih penuh 4 pagi

SHAH ALAM, 11 MAC: Bekalan air kepada pengguna di 13 kawasan terjejas susulan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur mula disalurkan pada 10.30 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna namun bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 4 pagi, 12 Mac

“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat berhubung insiden ini dari semasa ke semasa.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.