Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bomba: Ban Taman Sri Muda pecah, tiada limpahan ke kediaman penduduk

SHAH ALAM, 2 MAC: Sebuah ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pecah dipercayai akibat hujan lebat di kawasan tersebut petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada penduduk pada 8.15 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 14 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi terkawal. Kerja pembaikan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menghantar jengkaut untuk membaiki ban pecah berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 2 Mac 2022. Foto ihsan Sinar Harian

Norazam berkata pihaknya turut menggerakkan lima bot ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bomba akan terus berada di lokasi sehingga air pasang pada 12 tengah malam ini untuk memantau paras air. Setakat ini tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk,” katanya.

– BERNAMA