Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Buang sampah haram, pemilik lori dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Seorang pemilik lori didenda RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana membuang sampah haram berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Serendah bulan lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan diambil serta-merta berdasarkan gambar dan nombor pendaftaran kenderaan pelaku yang diadukan orang awam.

“Berdasarkan maklumat, lori itu didaftarkan bawah sebuah syarikat dan pemilik didapati membuang sisa makanan di luar tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemilik lori dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 5, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalur maklumat kepada MPHS supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung,” kata Mohd Hasry.

Sebarang aduan atau laporan boleh dibuat melalui laman web SISPAA di pautan https://selangor.spab.gov.my/ atau hubungi talian 03-6064 1331.