Categories
AGENDA NASIONAL

Calon KEADILAN mahu contohi Selangor, bantu wanita jana pendapatan

AYER HITAM, 4 MAC: Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mahu mencontohi Selangor yang giat melaksanakan program memperkasa wanita jika menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Haryati Abu Nasir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, berkata Selangor membuktikan wanita mampu menjana pendapatan walaupun hanya seorang suri rumah.

“Ramai wanita di Selangor tidak bekerja tetapi bila ada program memperkasa wanita, nasib mereka diubah menerusi latihan hingga mampu menjana pendapatan.

“Tidak mustahil apa yang dibuat di Selangor boleh dilaksana di Johor,” katanya kepada Selangorkini di Bilik Gerakan Utama DUN Semarang di sini malam tadi.

Justeru, Haryati mahu menjadikan Selangor sebagai negeri contoh berikutan sebahagian besar pengundi wanita di DUN Semarang juga tidak bekerja.

“Mereka hanya duduk di dapur, jadi lebih baik kita beri ilmu, kursus dan modal untuk mereka lakukan sesuatu untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau juga mahu membantu golongan belia menjana pendapatan menerusi projek pertanian terutama penanaman pisang yang mendapat permintaan tinggi di Johor.

Haryati berdepan Datuk Samsolbari Jamali, iaitu calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, selain Adzlan Raju (Pejuang) dan Shazani A Hamid (Perikatan Nasional).