Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Rakyat tumpu isu peremitan wang, e-ujian lesen memandu

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Isu kawalan selia peremitan wang ke luar negara khususnya oleh pekerja asing dan pelaksanaan ‘e-testing’ bagi mengambil ujian lesen memandu merupakan antara persoalan yang memerlukan jawapan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai mekanisme kawalan peremitan wang ke keluar negara yang mencecah RM40 bilion setiap tahun itu akan diajukan oleh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) kepada Menteri Kewangan semasa sesi soal jawab.

Bagi soalan berkenaan bilakah ‘e-testing’ dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk semua proses ujian lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan serta syarikat pembekal teknologi mana yang terpilih, akan ditanya oleh Loke Siew Fook (HARAPAN-Seremban) kepada Menteri Pengangkutan.

Turut tersenarai ialah soalan Khalid Abd Samad (HARAPAN-Shah Alam) yang meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah usaha baharu untuk mengurangkan kebergantungan beras import untuk penggunaan negara.

Menteri berkenaan juga perlu menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahu tahu langkah kementerian untuk mempertimbangkan imbuhan atau pampasan kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar utama padi negara.

Ia memandangkan negeri terbabit telah mengalami kos lepas perolehan hasil negeri dalam bentuk percukaian serta tanah di negeri terlibat tidak dapat dibangunkan dengan pembangunan komersial seperti negeri-negeri lain.

Selain itu, turut menuntut penjelasan ialah Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (HARAPAN-Temerloh) yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan usaha kementerian mengawal pembalakan di Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lepas.

Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

-BERNAMA