Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jaya program berprestij ketika Covid-19 bukti Selangor perkukuh ekonomi

SHAH ALAM, 4 MAC: Empat program bertaraf antarabangsa dijayakan Selangor sejak tahun lalu menunjukkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mengukuhkan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran itu turut membuktikan Selangor sentiasa positif mengadaptasi norma baharu dan bergerak pantas meski berdepan ancaman Covid-19.

“Sebaik sektor ekonomi dibuka empat program antarabangsa dijalankan iaitu Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 dan Pameran Udara Selangor pada November, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 dan sekarang Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac).

“Dari sini ketika pandemik Covid-19 melanda kita dapat lihat pengajaran penting bagaimana mahu seimbangkan hidup dengan kehidupan,” katanya ketika berucap secara maya pada Majlis Makan Malam Aspirasi Selhac malam ini.

Majlis diadakan di Dorsett Grand Subang dihadiri EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu Amirudin berkata Selangor perlu mengambil peluang meneroka industri halal memandangkan ketika ini aspek kesihatan menjadi perhatian.

“Halal adalah sebahagian jawapan atau solusi untuk mendapatkan kehidupan sihat di samping ia menjadi keutamaan umat Islam kerana melibatkan darah daging.

“Dengan jumlah kelahiran tinggi, kita percaya prospek industri ini besar jika diteroka dengan baik. Kalau peluang ini direbut secepat mungkin kita boleh jadi peneraju,” katanya.

Selangor buat julung kali menjayakan Selhac bermula hari ini hingga Ahad di Pusat Konvensyen Shah Alam disertai 100 pempamer membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.