Categories
ADN SELANGOR

KDEBWM sedia pengorek kaut, lori 10 tan bersihkan Taman Kinrara pascabah

SHAH ALAM, 10 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menempatkan kakitangan dan asetnya selama seminggu di Taman Kinrara, Puchong bagi pembersihan kesan banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata tindakan mulai semalam membolehkan penduduk yang terkesan mengeluarkan sampah dan barangan yang rosak pada hujung minggu.

“Saya faham kesukaran dan dilema dihadapi rakan-rakan di Taman Kinrara. Baru beli perabot selepas banjir pada Disember tetapi tenggelam lagi.

“Perlukan masa pilih barang yang mahu dibuang atau masih bole digunakan. Jangan bimbang. Ambil masa anda,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Sze Han yang juga pengerusi KDEBWM berkata proses pembersihan bermula pagi semalam menggunakan dua pengorek kaut, enam lori tipper 10 tan dan 10 lori Roll On Roll Off.

“Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Hujan lebat pada petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air dengan 1,215 mangsa daripada 298 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara.