Categories
AGENDA NASIONAL

Kes serius kekal rendah, angka jangkitan harian turun 27,435 pesakit

SHAH ALAM, 7 MAC: Kadar jangkitan harian Covid-19 turun mendadak sebanyak 5,971 kepada 27,435 kes semalam, selepas mencecah angka tertinggi 33,406 kes kelmarin.

Daripada jumlah itu, 27,181 adalah kes tempatan dan 254 adalah kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat semalam adalah 3,622,607.

Kes bagi kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 184 atau 0.67 peratus manakala kategori satu (tanpa gejala) 9,756 kes dan dua (gejala ringan) merekodkan 17,495 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 454 jumlah kluster aktif setakat semalam, termasuk empat kluster baharu.

“Jumlah kluster yang sudah tamat adalah 6,387 daripada keseluruhan 6,841 yang direkodkan setakat semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1: 9,756 kes (35.56 peratus)
Kategori 2: 17,495 kes (63.77 peratus)
Kategori 3: 89 kes (0.33 peratus)
Kategori 4: 53 kes (0.19 peratus)
Kategori 5: 42 kes (0.15 peratus)

Sebanyak 55 kematian, termasuk 16 kes di luar hospital dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 33,228 kematian setakat semalam.