Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 900,000 kanak-kanak terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sebanyak 904,368 individu atau 25.5 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 14,736,569 individu atau 62.6 peratus populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,950,422 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,230,349 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,801,714 individu atau 90 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,897,292 atau 93.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 101,038 dos vaksin diberikan meliputi 26,476 dos pertama, 1,300 dos kedua dan 73,262 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,313,182.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 78 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan 21 kes di Johor, diikuti Kedah (15), Selangor (13), Perak (sembilan), Sabah (enam), Pulau Pinang (lima), masing-masing dua kes di Kelantan, Melaka dan Terengganu, manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kes.

-BERNAMA