Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima kluster industri dipromosi sepanjang Minggu Selangor di Dubai

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak lima kluster berteraskan industri diperkenal dan dipromosi sepanjang Minggu Selangor @Dubai Ekspo 2020 yang bermula hari ini hingga 11 Mac depan.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata lima kluster berkenaan ialah elektrik dan elektronik; bioteknologi; aeroangkasa; mesin dan peralatan; dan makanan dan minuman.

“Minggu Selangor bukan sahaja bertujuan meletakkan Selangor sebagai negeri paling maju di Malaysia tetapi juga menyediakan platform untuk mengukuhkan hubungan dan berkongsi idea dengan 192 negara yang mengambil bahagian.

“Dengan jumlah penyertaan daripada 15 syarikat, Minggu Selangor mempromosikan lima kluster teras industri untuk pelaburan,” kata Dato’ Teng Chang Khim dalam sidang media secara langsung dari Dubai, petang tadi.

Katanya, setakat ini juga sebanyak 120 perjumpaan dengan pelabur berpontesi akan berlangsung dalam tempoh lima hari Minggu Selangor.

“Agensi Kerajaan Negeri akan turut terbabit dalam sesi perkongsian antaranya Tourism Selangor dan Sepang Goldcoast yang akan berkongsi mengenai pertumbuhan pelancongan.

“Manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Central Spectrum dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan membincangkan mengenai peluang perniagaan berpotensi di negeri ini,” katanya.

Selain itu katanya, Invest Selangor sebagai penyelaras Minggu Selangor akan berkongsi mengenai inisiatif dan peluang pelaburan termasuk pelaburan secara digital.