Categories
AGENSI SELANGOR

Mais buka kaunter maklumat urus harta, wasiat sempena persidangan halal

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka kaunter informasi pengurusan harta baitulmal sepanjang Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022.

Agensi itu memaklumkan kaunter dibuka dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam memberi peluang kepada pengunjung mengetahui perkhidmatan ditawarkan.

“Orang ramai dipelawa hadir untuk memperoleh pelbagai maklumat berkaitan pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka, faraid, fidyah, harta luqatah dan wang syubhah.

“Boleh datang ke gerai Mais bernombor 094,” katanya menambah Selhac turut disertai anak syarikat Mais iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Berlangsung selama tiga hari, Selhac membuka tirai semalam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.