Categories
PBT SELANGOR

MBPJ anjur program lupus perabot, barangan elektrik secara percuma

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan program pelupusan perabot, barangan elektrik serta pelbagai jenis barangan lama secara percuma mulai semalam sehingga 27 Mac ini.

MBPJ memaklumkan program ‘spring cleaning’ sempena sambutan Aidilfitri menerima perabot seperti sofa, kerusi, meja, almari, katil, tilam dan jenis barangan yang masih dalam keadaan baik.

“Turut diterima barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh, televisyen dan radio. Kita juga menerima basikal yang sudah lusuh atau tidak digunakan.

“Barangan yang diperbuat daripada besi seperti buaian juga turut diterima selain kaca seperti akuarium, pasu, lampu dan lain-lain,” katanya menerusi kenyataan.

MBPJ turut mengingatkan hanya barangan yang mengikut spefikasi yang  diberi akan diterima pada hari kutipan dibuat dan tidak menerima barangan kaca yang pecah.

“Penduduk juga diingatkan supaya membungkus, melabel dan menyusun barangan dengan elok supaya tidak pecah serta maklumkan kepada kontraktor kutipan bagi mengelakkan kemalangan kecil berlaku kepada pekerja.

“Barangan perlu diletak depan rumah sebelum jam 10 pagi dan diingatkan bahawa kontraktor kutipan hanya akan melalui laluan sekali sahaja di kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi sila hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam  MBPJ di talian 03-79541440.