Categories
PBT SELANGOR

MBPJ beri 850 lesen sementara kepada peniaga, golongan terjejas

SUBANG JAYA, 3 MAC: Sebanyak 850 lesen sementara dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pemberian lesen itu adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat di Selangor bangkit semula.

“Kita beri peluang perniagaan kepada penduduk dan peniaga yang terjejas dengan memberikan mereka lesen sementara selain menyediakan tempat bersesuaian.

“Oleh demikian, kita galakkan mereka yang ingin berniaga supaya memohon. Kita bertanggungjawab supaya perjalanan ekonomi penduduk di Petaling Jaya teratur,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19.

Pada 17 Disember tahun lalu, tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Jun ini.

Inisiatif itu sepatutnya tamat akhir tahun lalu namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terjejas bermula sejak Ogos tahun lalu. Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.