Categories
AGENSI SELANGOR

MBPJ lancar pelan strategik usahawan ke arah digital, tawar latihan percuma

PETALING JAYA, 11 MAC : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dengan memfokus kepada empat strategi utama.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata strategi tersebut adalah bagi menambah baik infrastruktur usahawan, membangunkan modal insan dan memperkukuh ekonomi peniaga.

Menurut Mohamad Azhan Md Amir strategi keempat ialah memantapkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan untuk keberkesanan institusi dan pembangunan usahawan.

“Kita turut menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada usahawan mikro bagi memberi penekanan berhubung aspek digital sebagai medium perniagaan.

“Sebanyak tiga kursus ditawarkan iaitu berkaitan asas keusahawanan dan kaedah mengaplikasi perniagaan ke arah pendigitalan dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor dan ┬áRantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, seramai 180 usahawan mikro menyertai kursus tersebut sejak Oktober lalu dan hasil kaji selidik mendapati 14 peserta tidak menggunakan media sosial sebagai teknik pemasaran.

“Justeru, dalam usaha menarik minat mereka MBPJ akan memberi pengiktirafan kepada usahawan yang cemerlang dalam perniagaan hasil daripada modul kursus yang disertai.

“Dengan cara itu golongan ini dapat digilap menjadi usahawan pintar dan menjadi contoh kepada usahawan mikro lain,” katanya.