Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sedia 16 lokasi, lulus permohonan 764 peniaga bazar Ramadan

PUCHONG, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan permohonan 764 peniaga bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan disediakan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

“Berlaku peningkatan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan hanya sembilan lokasi bazar membabitkan 421 peniaga.

“Alhamdulillah tahun ini kita menerima permintaan yang tinggi dan semua bazar ini juga diuruskan sepenuhnya MBSJ tanpa melantik mana-mana badan penganjur atau pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johary berkata karnival itu dianjurkan sehingga Khamis ini bertujuan memberi taklimat kepada peniaga bazar berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk pendedahan urus niaga tanpa tunai.

“Pelbagai pengisian diadakan sepanjang tiga hari antaranya cara kendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula serta cara mengurus sisa pepejal,” katanya.

Menurutnya, pengurusan bazar Ramadan MBSJ tahun ini turut mendapat kerjasama lebih 10 rakan penaja antaranya syarikat Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Maybank Berhad.