Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Penolong pegawai pertubuhan peladang buat tuntutan palsu RM17,000 kena dakwa

SHAH ALAM, 4 MAC: Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM17,000, empat tahun lepas.

Mohd Zamadi Mohd Zain, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di PPK Klang, dekat sini pada 15 Januari 2018.

Dia dituduh memperdayakan pegawai atasannya dengan menggunakan invois sebuah syarikat berjumlah RM17,000, yang diketahui mengandungi butiran palsu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menggunakan invois palsu sebuah syarikat berjumlah RM17,000 sebagai tulen yang dilakukan pada tarikh dan tempat sama.

Bagi tuduhan itu, Mohd Zamadi didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagaimana dimohon Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

Terdahulu, peguam Samry Masri yang mewakili Mohd Zamadi memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya sudah berkhidmat di PPK selama 18 tahun. Dia juga menyara ibunya yang berusia 65 tahun,” katanya.

Mahkamah menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen kes.

– BERNAMA