Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Persidangan halal berlangsung meriah, pengunjung patuh SOP

SHAH ALAM, 5 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 yang memasuki hari kedua berlangsung meriah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO industri halal berkata lebih 1,000 orang awam menyertai acara itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini manakala 500 lagi secara dalam talian melalui Facebook Selhac.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan orang ramai yang hadir secara fizikal dipantau ketat pegawai bertugas bagi mengelak pelanggaran SOP.

“Alhamdulillah jika dilihat secara rawak, lebih 1,000 orang hadir ke SACC untuk melihat sendiri produk dipamerkan pemain industri selain mendapatkan pendedahan berkaitan sektor halal.

“Bagaimanapun kita pastikan mereka menjaga SOP kerana bimbang dengan peningkatan kes Covid-19. Kita menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung esok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan itu di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Selangorkini di lokasi sejak pagi tadi mendapati program berjalan lancar seperti dijadualkan manakala gerai pempamer tidak putus-putus dikunjungi orang awam.

Berlangsung selama tiga hari, Selhac membuka tirai semalam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.