Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Majikan wajib benarkan pekerja kematian suami kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, kerajaan semalam mengumumkan enam inisiatif antaranya wanita yang kematian suami dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah diwajibkan untuk membenarkan wanita untuk BDR bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Selain itu, beliau berkata cadangan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam bermodal besar dijangka berkuat kuasa 1 Sept ini manakala bagi syarikat tersenarai lain pelaksanaannya dijangka pada 1 Jun tahun depan.

“Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan atau negeri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menubuhkan Majlis Wanita Negara, mewujudkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual dan memantapkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian panjang.

“Hakam merupakan satu kaedah yang diperkenal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan iaitu pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Beliau berkata pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang Ringgit di mahkamah dan kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Perdana menteri turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian wanita Malaysia yang semakin hari semakin ramai mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam atau di luar negara.

Ismail Sabri berkata berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan bagaimanapun keterlibatan dalam bidang ekonomi dan politik masih rendah.

Beliau berkata dalam bidang ekonomi dan pekerjaan, kadar penyertaan wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus berbanding lelaki iaitu 80.8 peratus.

Selain itu, daripada setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM94.07 dan jurang itu semakin meningkat terutama dalam kalangan wanita B40, kesan daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang bagi tempoh sama tahun 2020.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Ikon Wanita kepada lapan penerima melibatkan kategori Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kepimpinan, Keselamatan, Perundangan, Wanita Bangkit dan Anugerah Khas Tun Fatimah.

Anugerah Khas Tun Fatimah diberikan kepada Pengasas dan Presiden Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM) Norazizah Borhan dan anugerah diberikan kepada wanita yang mempamerkan sumbangan luar biasa termasuk menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

-BERNAMA