Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah rendah ada lebih 600 murid laksana kaedah penggiliran

SHAH ALAM, 5 MAC: Sekolah rendah yang mempunyai bilangan murid lebih 600 akan melaksanakan kelas secara bersemuka dan penggiliran, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata murid yang hadir tanpa penggiliran melibatkan prasekolah, tahun 1, 2, 6 serta murid bawah program rancangan makanan tambahan (RMT).

Beliau menjelaskan sesi tanpa penggiliran turut melibatkan murid berkeperluan khas di sekolah kebangsaan pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi.

“Manakala untuk murid tahun 3, 4 dan 5 pula mereka perlu hadir ke sekolah secara penggiliran mengikut jadual ditetapkan pihak sekolah.

“Bagi sekolah rendah yang jumlah muridnya di bawah 600 orang, semua murid rendah harian dan swasta perlu hadir tanpa penggiliran,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan sesi persekolahan 2022/2023 bermula 21 Mac 2022 sehingga 11 dan 12 Mac 2023.