Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bangunkan platform halal, pusat rujuk pemain industri serta pengguna

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Selangor merancang membangunkan aplikasi bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat menyeluruh berkaitan sektor halal dalam satu platform.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembangunan data bahan halal sedang dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita akui bahawa agak mencabar untuk kumpul semua maklumat berkaitan halal. Jadi dengan adanya data dalam bentuk digital, pengguna termasuk pengeluar, peruncit dan pengimport mudah untuk akses.

“Selain ramuan halal, aplikasi ini akan turut mengumpulkan jumlah permohonan sijil halal dan pemain industri,” katanya ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dalam ucapan memaklumkan modul program pembangunan kapasiti halal Selangor yang sedang berjalan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan industri.

Selain itu, katanya program Halal Suri pula mampu meningkatkan produktiviti kaum ibu di negeri ini melalui penghasilan produk sejuk beku untuk dipasarkan kepada pelanggan dari rumah tanpa perlu bergerak jauh.

“Program ini membantu suri rumah mendapat sumber pendapatan kerana produk dihasilkan mereka seperti ayam dan kuih-muih sejuk beku sangat sedap dan bagus,” katanya.