Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selhac: Kerajaan Negeri sasar penyertaan sekali ganda selepas ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan sekali ganda dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada sesi penganjuran akan datang.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sasaran itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima pempamer sepanjang penganjuran persidangan berkenaan.

“Ia berakhir dengan cemerlang dan sambutan yang diterima daripada pengunjung amat hebat dari pengunjung, malah pempamer menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Saya berharap Selhac ini dapat terus diperluaskan pada masa akan datang. Sebahagian besar pempamer juga menyatakan minat untuk turut serta dalam penganjuran selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penangguhan Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Pemenang pilihan juri gerai terbaik bergambar pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) itu menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac dan ia dibahagikan kepada enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.